Ratib al-Haddad

Amalan peninggalan Imam al-Haddad rhm. yang terkenal dan banyak diamal orang kita di rantau sini, bahkan di seluruh pelusuk dunia Islam. Amalan yang berkat ini ialah ratib beliau yang terkenal dengan panggilan "Ratibusy Syahiir" atau "Ratibul Haddad". Ratib ini telah banyak diamal oleh para ulama kita terdahulu dan posting aku kali ini hanya untuk mengkhabarkan beberapa nukilan ulama kita di Nusantara ini berhubung Ratibul Haddad. Aku mulakan dengan tulisan ulama terbilang yang paling produktif menulis iaitu Tok Syaikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Di mana dalam "Kaifiyyah Khatm al-Quran" pada halaman 256 - 260, beliau memuatkan Ratibul Haddad sepenuhnya dan memberi pengenalan ratib ini dalam bahasa 'Arab (maaflah aku masih tak dapat nak tulis dalam font Arabic, masih tak tahu apa penyakitnya) yang bererti: "Inilah ratib Tuanku Wali yang 'arif billah, Imam ahlillah, asy-Syaikh al-Kabiir pada jalan Allah, Quthub rahaa-ddin, 'Ayn a'yaanish Shiddiiqiin as-Sayyid 'Abdillah bin 'Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin 'Abdullah yang dikenali sebagai al-Haddad Ba 'Alawi al-Husaini....." Dan pada halaman 261, Tok Syaikh Daud menukilkan satu faedah bahawa Sayyidina al-Imam Ahmad bin Zain mendengar daripada sebahagian orang sholeh dan ahli ilmu menyatakan yang Imam al-Haddad berkata:-


"Bahawasanya sesiapa yang membaca ratib ini teristimewa lafaz tahlilnya dengan adab, hudhur hati, yakin dan niat (ikhlas bertaqarrub kepada Allah) dan menyempurnakan tahlilnya 1,000 kali, nescaya akan terzahir baginya sesuatu daripada segala nur milik Allah ta`ala."

Syaikh Ahmad bin Muhammad Kasim ulama kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 1901M dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1943. Menuntut ilmu ke Makkah al-Musyarrafah dan akhirnya membuka madrasah "al-Mubtadi` li Syari`ah al-Musthofa al-Hadi" atau madrasah "Nur ad-Diniyyah" di Melaka. Di madrasahnya Ratibul Haddad dijadikan wirid tetap dibaca setiap malam.


Tuan Guru Haji Muhammad Sulum @ Sulung al-Fathani (1895M - 1954M) pula menukilkan Ratibul Haddad dalam khatimahnya bagi karangannya "Gugusan Cahaya Keselamatan" di mana sebagai pengenalannya beliau menulis:-

"Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi waliyullah yang besar Habib 'Abdullah al-Haddad dan ratib baginya."

Bahkan ramai lagi ulama kita yang menjadikan Ratibul Haddad ini sebagai pakaian mereka seperti al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani yang dikenali sebagai Tok Kelaba al-Fathani dan juga ulama terbilang Acheh Darus Salam, asy-Syaikh Teungku Hasan Krueng Kalee yang empunya kitab berjodol "Risalah Lathifah fi adabi adz-dzikri wa at-tahlil wa kaifiyyati tilaawati ash-Shomadiyyah 'ala thoriqati Quthubil Irsyad al-Habib 'Abdullah al-Haddad".

Sebagai penutup, aku nukilkan di sini artikel berjodol "Syarh Ratib al-Haddad - Dari Yaman ke Dunia Melayu" karangan Fadhilatul Ustaz Wan Mohd. Shoghir bin Wan Abdullah al-Fathani (mudah-mudahan Allah memanjangkan usia beliau serta memanfaatkannya bagi agama dan umat).

Syarh Ratib al-Haddad
Dari Yaman ke Dunia Melayu

SEKURANG-KURANGNYA ada dua jenis "wirid" atau disebut juga dengan "Ratib" yang sangat berpengaruh di kalangan orang-orang Arab, terutama golongan "Habaib" (Habib-Habib atau Saiyid/Syed) yang datang ke dunia Melayu. Yang pertama disebut "Ratib Al-Haddad" dan yang satu lagi dinamakan "Ratib Al-Attas". Sebahagian besar yang diketahui oleh para pengamalnya, "Ratib Al-Haddad" ialah satu amalan yang dapat menenangkan jiwa, penuh berkat, terdapat beberapa fadhilat yang kadang-kadang menyalahi adat. Wirid atau ratib yang tersebut adalah disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar, dan sejenisnya. Yang pertama mengamalkannya ialah Al-Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba'alawi al-Huseini al-Hadhrami asy-Syafi'ie. Ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W ini dilahirkan di Tarim, Yaman, pada 5 Safar 1044 H/30 Julai 1634 M dan wafat pada 7 Zulqa'idah 1132 H/10 September 1720 M.

Artikel ini bukan menceritakan riwayat hidup ulama yang tersebut tetapi adalah lebih memperkenalkan satu-satunya manuskrip bahasa Melayu yang membahas secara mendalam tentang "Ratib Al-Haddad". Perlu saya sebutkan di sini bahawa hingga kini belum dijumpai "Ratib Al-Haddad" bahasan yang mendalam sepertinya dalam bentuk cetakan bahasa Melayu. Sungguh pun demikian, belum begitu lama, terdapat yang diusahakan oleh Syed Ahmad bin Muhammad bin Zain bin Semit cetakan yang ditulis dalam bahasa Arab, cetakan yang kedua Zulhijjah 1417 H/1997M, diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura. Manuskrip yang dalam bahasa Melayu diselesaikan pada hari Ahad, jam 4.00 petang, bulan 24 Syawal 1224 H/2 Disember 1809 M. Disalin kembali tahun 1317 H/1899 M. Judul lengkap manuskrip dalam bahasa Arab "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad fi Syarh ar-Ratib al-Haddad". Judul terjemahan dalam bahasa Melayu "Jalan Pertunjuk dan Pengajaran Pada Menyatakan Faedah Kelebihan Quthub Bangsa Haddad". Karangan asal dalam bahasa Arab dilakukan oleh keturunan ulama tersebut, beliau ialah Habib 'Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tidak dinyatakan, kemungkinan adalah diterjemahkan oleh yang mengaku pemiliknya bernama Ahmad Salim ibnu al-Marhum Syeikh Mat Juban Pontianak, Kampung Melayu.

Selain yang diberi judul di atas terdapat lagi manuskrip dalam bahasa Melayu, tetapi bahasan kandungannya berbeza, ialah "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad". Judul ini diterjemah oleh Saiyid Ahmad bin Muhammad al-'Aidrus, tidak terdapat tarikh selesai penterjemahan. Manuskrip ini bekas dimiliki oleh Ahmad bin 'Abdullah bin Qadhi. Manuskrip "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad" lebih bercorak cara-cara mengamalkan ratib, tanpa mengemukakan dalil. Sedang "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad" (manuskrip yang pertama) secara garis besar kandungannya ialah lebih mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan hadis lebih lengkap untuk membuktikan bahawa amalan yang diajar oleh Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad adalah tidak menyimpang dari ajaran Islam yang diajarkan oleh datuk nenek beliau, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita membuat perbandingan kandungan yang terperinci antara manuskrip bahasa Melayu dengan yang bahasa Arab cetakan Pustaka Nasional Singapura ternyata ada beberapa perkara yang dibicarakan dalam manuskrip Melayu tidak terdapat dalam yang bahasa Arab. Demikian juga sebaliknya.

Dalam manuskrip yang bahasa Melayu dicatatkan tulisan Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam "Kitab Manaqib", kata beliau, "Barangsiapa orang yang membiasakan atas ratib kami, nescaya dikurniai [oleh] Allah Ta'ala akan dia sebaik-baik kesudahan mati di dalam kalimah ... ". Yang dimaksudkan di sini ialah mati dalam agama Islam dan beriman. Sebagaimana terdapat pada salah satu doa dalam ratib, yang terjemahannya "... matikan kami dalam agama Islam". Doa ini pula ada hubungkait dengan doa dalam ratib juga, yang maksudnya, "Kami semata-mata ridha terhadap Allah, tuhan kami, kami suka agama Islam, adalah agama kami dan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi kami. " Terhadap Allah, Islam dan Nabi adalah sangat ditekankan dalam ilmu 'aqidah supaya beri'tiqad dengan jazam dan betul. Perlulah diperhatikan, kerana sewaktu kita masuk kubur yang tersebut adalah pertama-tama perkara yang ditanya. Selain fadhilah untuk menghadapi sakarat al-maut, beliau sebut juga bahawa "Ratib al-Haddad" berfungsi "Dipeliharakan [oleh] Allah Ta'ala daripada terbakar, dan kecurian, dan tiada terbunuh orang akan dia ... Ratib ini dibaca tiap-tiap ditimpa dukacita, nescaya diberi [oleh] Allah kesukaan". Semua yang diriwayatkan bahawa bacaan-bacaan dalam ratib ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits shahih.

Sebagai bukti "Ratib al-Haddad" sangat berpengaruh, dalam rangka "Majlis Haul Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad", telah diadakan perhimpunan acara membaca ratib tersebut di Masjid Baitul Aman, di Jalan Damai, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu 1 Zulqa'idah 1426 H/3 Disember 2005 M. Yang hadir selain dari seluruh Malaysia, ramai pula yang datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, India, Yaman, dan negara-negara lainnya. Acara diteruskan ke Batu Pahat (Johor), Temerloh (Pahang) dan Singapura. Selain membaca "Ratib al-Haddad" juga diadakan ceramah yang khusus membicarakan kehebatan dan jasa-jasa besar Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam penyebaran Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh dunia.

Mudah-mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat dan keredhaan atas Shohibur Ratib Imam al-Haddad serta para ulama kita terdahulu ...... al-Fatihah.

 

Berzikir di kuburan

Antara kebiasaan masyarakat kita, selesai pengkebumian jenazah, maka diadakanlah bacaan talqin yang dihukumkan sunnat oleh ulama Syafi`iyyah. Biasanya talqin akan dilanjutkan dengan pembacaan doa tatsbit memohon agar si mati ditetapkan imannya sewaktu menghadapi soal Munkar dan Nakir. Akhir sekali dibacakanlah tahlil yang kandungannya ialah bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tasbih, takbir, tahlil, istighfar, sholawat dan disudahi dengan doa wahbah bagi si mati khususnya dan sekalian muslimin umumnya. Zaman berzaman, inilah amalan ulama dan awam masyarakat kita apabila mengkebumikan jenazah.


Namun kini, timbul golongan yang suka menang sendiri, yang tidak memahami dan menghormati perbezaan pendapat dalam perkara-perkara khilaf, maka mereka ini bersungguh-sungguh berjuang untuk menghapuskan amalan yang telah sekian lama diamalkan ini atas slogan membasmi bid`ah dan sebagainya. Maka ditohmahkanlah bahawa segala amalan yang telah menjadi tradisi masyarakat kita, yang dilaksanakan oleh segenap peringkat, ulama maupun awam, sebagai tidak punya asal dan sandaran pada syarak. Allahu ... Allah, sedangkan jika diteliti, amalan-amalan tersebut punya sandaran dan asalnya pada syarak.

Imam Ahmad dalam musnadnya yang masyhur telah meriwayatkan satu hadits daripada Sayyidina Jaabir bin 'Abdullah r.'anhuma bahawa ketika Sayyidina Sa`ad bin Mu`adz r.a. meninggal dunia, beliau dan Junjungan Nabi s.a.w. telah pergi menziarahinya. Ketika jenazah selesai disembahyangkan, dikubur dan diratakan kuburnya, Junjungan Nabi s.a.w. bertasbih dan diikuti oleh para sahabat baginda dalam masa yang agak lama, kemudian baginda bertakbir lalu para sahabat turut bertakbir. Setelah selesai daripada berzikir, Junjungan Nabi s.a.w. ditanyai oleh para sahabat: "Kenapa engkau bertasbih kemudian bertakbir?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawabnya: "Telah menyempit atas hamba yang sholih ini akan kuburnya sehingga dilapangkan Allah baginya."


Allahu ... Allah, Junjungan Nabi s.a.w. berzikir kerana menyempitnya kubur tersebut sehinggalah dengan rahmat Allah kubur tersebut diluaskan bagi penghuninya. Hadits di atas juga turut dinukilkan oleh Imam al-Husain bin Mas`ud al-Baghawi dalam "Misykaatul Mashoobiih" dalam bab " itsbaat 'adzaab al-qabr ". Jadi sabitlah nas yang Junjungan Nabi s.a.w. dan para sahabat pernah berzikir di sisi kubur selesai pengkebumian. Jika pun hadits tersebut dihukumkan "dhaif", maka di sisi mazhab jumhur ulama, hadits dhaif adalah hujjah dalam perkara-perkara fadhail. Dan tidaklah tertentu ucapan zikir tersebut dengan hanya tasbih dan takbir, kerana tidak warid ada tegahan untuk menambah zikir-zikir seumpama tahlil, sholawat dan sebagainya. Junjungan Nabi s.a.w. diberitakan dalam khabar yang shohih sebagai berwudhu` dengan satu cupak air dan mandi janabah dengan menggunakan kadar segantang ke 5 mud air, maka jika seseorang berwudhu atau mandi dengan menggunakan lebih dari kadar yang digunakan oleh Junjungan Nabi s.a.w., maka adakah itu satu kesalahan?? Siapa sekarang yang berwudhu dengan secupak dan mandi dengan segantang ?

Saturday, November 10

Hadis az-Zanjaani

Siapa yang tidak kenal dengan Imam as-Sayuthi ? Beliau yang hidup sekitar 849H - 911H, adalah seorang ulama besar yang menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu hadis serta mustholah dan ilmu rijal serta jarh wa ta'dil. Karangan-karangan beliau cukup banyak sehingga menjangkau lebih-kurang 981 buah karya yang bernilai tinggi, menjadi rujukan para santri zaman berzaman. Nama lengkapnya ialah `Abdur Rahman bin Kamaluddin Abu Bakr bin Muhammad bin Saabiquddin. Beliau terkenal dengan gelaran Jalaluddin as-Sayuthi al-Mishri asy-Syafi`i al-Asy`ari. Biografinya telah dikenali ramai dan sungguh beliau adalah hujjah bagi kita.


Dalam kitabnya yang berjodol "Syarhu ash-Shuduur bi syarhi haali al mawtaa wa al-qubuur" pada "Bab fi qiraati al-Quran lil mayyiti aw 'ala al-qabr" halaman 405 menukilkan satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abul Qaasim Sa`ad bin 'Ali az-Zanjani rahimahUllah dalam kitab "Fawaaid"nya. Hadis tersebut berbunyi:-

 

"Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan, lalu membaca al-Fatihah, al-Ikhlas dan at-Takaatsur, kemudian berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya telah aku jadikan pahala apa-apa yang telah aku baca dari kalamMu buat para penghuni kubur ini yang beriman baik lelaki maupun perempuan," maka jadilah mereka tersebut pemberi syafaat baginya di sisi Allah ta`ala."

Jika sekiranya Imam as-Sayuthi beranggapan bahawa hadis tersebut adalah palsu, maka sewajarnya beliau tidak menukilkannya dalam karyanya tersebut tanpa menerangkan statusnya sebagai palsu. Nampaknya hal ini tidak berlaku, jadi jelas bahawa Imam as-Sayuthi berpendapat bahawa hadis tersebut kalaupun bukan sahih tetapi ianya tidaklah palsu di sisi beliau. Faqih al-'Allaamah Habib Zain bin

Ibrahim Bin Sumaith @ Habib Zainal 'Abidin al-'Alawi, juga telah menukilkan hadis di atas daripada karangan Imam as-Sayuthi tersebut dalam karyanya "al-Ajwibah al-Ghaaliyah fi 'aqiidah al-firqah an-naajiyah" pada halaman 111 - 112. Komentar beliau mengenai hadis ini ialah:- Hadis yang tersebut dan yang seerti dengannya, jika pun berdarjat dhaif, maka para ahli hadis telah menegaskan bahawasanya boleh beramal dengan hadis-hadis dhaif dalam perkara-perkara fadhoilul a'maal, dan yang sedemikian itu adalah daripadanya (yakni perkara membaca al-Quran buat si mati adalah sebahagian dari perkara fadhoilul a'maal).

Oleh itu, adalah tidak bijak bagi seseorang yang mengaku dirinya "sarjana" untuk menyalahkan, apatah lagi menyesatkan orang lain yang tidak sefaham dengannya dalam perkara khilafiyyah. Jika sarjana tersebut berpegang dengan imamnya yang menyatakan hadis tersebut sebagai mawdhu` @ palsu, maka kami katakan bahawa ahli hadis lain tidak sependapat dengannya. Jika si sarjana tersebut berhak berpegang dan beramal dengan pendapatnya, maka kenapa pula kami tidak berhak untuk berpegang dan beramal dengan apa yang kami yakini? Kenapa si sarjana tersebut beriya-iya hendak menghukum sesat dalam perkara khilafiyyah yang mempunyai sandaran di sisi para ulama, bahkan menjadi amalan zaman-berzaman dari kalangan ulama sehinggalah kalangan awam.

Akhirul kalam, sebagai penutup elok rasanya kita ketahui serba - sedikit mengenai Imam Abul Qaasim az-Zanjaani ini. Untuk itu ikhwah bolehlah buat rujukan kepada "Siyar A'laam an-Nubalaa`" karya Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin 'Utsman adz-Dzahabi. Imam adz-Dzahabi dalam juzuk 18 mulai halaman 385 kitabnya tersebut, menyebut ulama kelahiran tahun 380H ini seperti berikut:-

Imam panutan, al-'Allaamah (seorang ulama yang benar-benar 'alim), al-Hafidz, al-Qudwah (Pimpinan yang dikuti umat) al-'Aabid (ahli ibadat), Syaikhul Haram (Syaikhnya Tanah Haram (Makkah), Abu al-Qaasim, Sa`ad bin 'ALi bin Muhammad bin 'Ali bin al-Husain, az-Zanjaani, ash-Shufi.


Allahu .... Allah, itu gelaran yang diberikan oleh Imam adz-Dzahabi kepada beliau, bukan sekadar predikat Dr. dari (with due respect) UKM. Imam adz-Dzahabi juga menukilkan kalam beberapa ulama yang memuji Imam Abul Qaasim az-Zanjaani, antaranya perkataan Abu Sa`ad yang menyatakan bahwa Sa`ad az-Zanjaani ini adalah seorang hafidz yang mutqin (teliti dan mendalam ilmu), seorang yang tsiqah, warak, banyak beribadah serta mempunyai tanda-tanda kekeramatan dan kemuliaan. Apabila beliau keluar ke Masjidil Haram, maka orang (kerana hormat kepadanya) akan mengosongkan tempat tawaf (untuk memudahkan beliau bertawaf) dan mereka lebih banyak mencium tangannya berbandingkan hajar al-aswad. Allahu ... Allah.... kemuliaan apa ini...... bisyarah baginya insya-Allah.

Ibnu Tahir pula menyebut bahawa dia tidak pernah melihat seseorang yang seumpamanya (yakni Abul Qaasim az-Zanjaani). Bahkan dia mendengar Abu Ishak al-Habaal berkata: "Belum pernah ada di dunia ini orang yang memiliki kelebihan seperti Sa`ad bin 'Ali". Disebut juga bahawa al-Faqih Hayyaaj bin 'Ubaid yang menjadi Imam Masjidil Haram dan muftinya yang antara amalannya ialah berumrah 3 kali setiap hari berkata: "Hari yang aku tidak melihat Sa`ad padanya, tidaklah kukira yang aku telah melakukan kebajikan pada hari tersebut".

Itulah antara pujian ulama terhadap beliau, justru janganlah kita bermudah-mudah untuk menghukum para ulama kita ini sebagai periwayat hadis palsu yang diancam dengan neraka oleh Junjungan Nabi s.a.w. Al-Fatihah buat sekalian ulama kita dengan harapan agar Allah memberikan sebaik-baik balasan terhadap segala amal dan jasa mereka buat umat ini. Yang tak sewaktu dengan kami berhubung hadiah pahala bacaan kepada si mati, bolehlah berdoa sahaja. Jangan marah-marah, berlapang dadalah sesama umat, sementelah lagi terhadap golongan majoriti.